KUALA LUMPUR: Seorang jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh eksekutif pemasaran, Noritta Samsudin, 22.
Hanif Basree Abdul Rahman, 36, yang menyerah diri tiga hari selepas mayat Noritta ditemui di sebuah kondominium dalam keadaan bogel dengan lehernya dijerut serta kedua-dua tangan dan kaki diikat, dihadapkan ke mahkamah pada jam 9.55 pagi.
Dia yang sebelum ini direman selama 14 hari, dituduh membunuh Noritta di nombor D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di sini antara jam 1.30 pagi dan 4 pagi.
Hanif yang tenang apabila tuduhan dibaca terhadapnya, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Hanif yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Tampar Selangor, diwakili peguam V Sithambaram dan N Rajivan. Keluarganya termasuk isteri dan ibu bapanya, turut hadir di mahkamah.
Tertuduh yang memakai kemeja-T biru tua dan berseluar jeans, kemudian dihantar ke Penjara Sungai Buloh untuk ditahan sementara menunggu perbicaraan.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Stanley Augustin memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi serta-merta.
Majistret Rosli Ahmad membenarkan permohonan itu. Bagaimanapun, tarikh sebutan kes itu belum ditetapkan.
Sementara itu, broker pasaran mata wang asing (forex), Shahfrul Azrin Azman, 32, dan usahawan, Lim Sin Kean, 38, yang sebelum ini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kes itu, dibebaskan kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam.
Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis di hadapan Majistret Rosmizan Muhamad.
Dua pengawal keselamatan Kondominium Puncak Prima Galleria yang ditahan reman Khamis lalu, juga dibebaskan dengan jaminan polis, pagi semalam.
Sebelum ini, lima orang termasuk seorang wanita yang juga rakan serumah Noritta serta warga Finland yang direman, dibebaskan secara berperingkat selepas disoal siasat.
Semua yang ditahan kecuali wanita berkenaan, ketika direman turut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk diambil contoh darah, air mani dan rambut bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Kes pembunuhan Noritta mendapat liputan meluas media sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
Dalam kejadian pada 5 Disember lalu, Noritta yang bekerja di Transpro Sdn Bhd, ditemui dalam keadaan bogel dalam sebuah bilik di tingkat tujuh Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas kira-kira jam 4 pagi.
Mangsa ditemui terbaring di atas katil di bilik tidurnya dengan kedua-dua tangan diikat ke belakang, leher dijerut, mulut disumbat serta kakinya diikat. Noritta dipercayai dibunuh dalam tempoh dua atau tiga jam sebelum ditemui.
Polis menjumpai tuala kecil berhampiran bahagian kepala mangsa yang dipercayai digunakan untuk menyumbat mulut mangsa.
Coli, baju tidur yang sudah koyak serta kertas tisu mempunyai kesan air mani turut ditemui dalam bilik tidur mangsa.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui beberapa jenis wayar yang sudah dipotong di bilik mangsa seperti wayar seterika, kipas dan lampu tidur.
Bagaimanapun tiada sebarang kesan pergelutan berlaku antara mangsa dengan pembunuh itu.