Pentadbiran Obama galak pelaburan di Asia, Afrika
WASHINGTON: Rumah Putih kelmarin mengumumkan penyediaan dana teknologi bernilai berpuluh juta dolar khusus untuk kegunaan negara Muslim, sejajar dengan janji dibuat Presiden Barack Obama dalam ucapannya kepada dunia Islam Jun lalu.
Selaras dengan pengumuman itu, Rumah Putih mempelawa negara Islam mengemukakan cadangan projek untuk dibiaya di bawah dana yang digelar Global Technology and Innovation Fund (GTIF) itu.
Dana dikelola Overseas Private Investment Corporation (OPIC) itu menawarkan pembiayaan di antara AS$25 juta (RM85 juta) hingga AS$150 juta (RM510 juta) bagi projek yang dipilih.
Rumah Putih berkata dalam satu kenyataan GTIF bertindak mencetus dan memudahkan pelaburan sektor swasta di seluruh Asia, Asia Barat dan Afrika.
Projek yang membuka peluang ekonomi dan mewujudkan peluang kerja dalam bidang seperti teknologi, pendidikan, telekom, media, perkhidmatan perniagaan dan teknologi bersih layak dipertimbangkan, kata Rumah Putih.
OPIC berkata antara contoh projek adalah yang boleh membantu pembangunan teknologi komputer baru, perniagaan telekomunikasi atau yang mampu memperluaskan capaian kepada perkhidmatan internet jalur lebar.
Cadangan perlu dikemukakan menjelang akhir November dan pengurus dana akan menyediakan senarai pendek untuk dipertimbangkan di Washington pada Januari.
Permohonan yang berjaya akan diumumkan Jun tahun depan.
Dalam ucapan beliau kepada dunia Islam di Kaherah Jun lalu, Obama berkata: "Pendidikan dan inovasi adalah faktor penting pada abad ke-21", bagaimanapun pelaburan dalam bidang itu masih tidak memuaskan di dunia Islam.
Selain pengwujudan dana berkenaan, Obama berkata Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah kepada perhimpunan usahawan tahun ini untuk menjalin hubungan antara usahawan di Amerika Syarikat dan di negara Islam.
Sumber url=http://bharian.com.my]BHarian[/url] |